Remaja lelaki nyaris diculik ketika berjoging
SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki nyaris menjadi mangsa culik ketika sedang berjoging di Seksyen 13, dekat sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 15 tahun, pukul 10.42 malam tadi.
Katanya, mangsa sedang berjoging seorang diri sebelum didatangi sebuah kereta lama berwarna kelabu dipercayai jenis Proton Saga atau Iswara yang dinaiki dua lelaki, kira-kira pukul 5.15 petang.
“Salah seorang suspek kemudian turun dari kereta lalu mengacukan pisau dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta.
“Pengadu enggan dan bergelut dengan suspek sebelum berjaya melarikan diri ke pondok pengawal kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Akibat pergelutan, remaja itu turut mengalami kecederaan luka di pipi sebelah kanan, dan di bahagian lengan kjiri dan kanan.
Katanya, pengadu sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara penjara sehingga 7 tahun dan denda.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani ditalian 017-2892628,” katanya lagi
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








