JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki dakwa diperdaya wanita sebelum dipukul

Polis tahan lapan suspek termasuk wanita

CYBERJAYA – Seorang lelaki mendakwa diperdaya seorang wanita dikenali sebagai ‘Bella’ menyebabkannya dipukul beberapa orang lelaki di sebuah rumah di Plentong Baru, baru-baru ini.

Lelaki yang dikenali sebagai ‘Farhan’ itu berkata, dia turut diugut membayar RM3,000 supaya dilepaskan, namun hanya menyerahkan RM500 bersama motosikal miliknya.

Terdahulu, Farhan muncul dalam video panggilan yang disiarkan di laman Facebook milk selebriti Caprice, hari ini.

“Saya kenal wanita itu menerusi media sosial. Baru-baru ini dia jemput saya ke rumahnya, Apabila masuk, saya terus dikerumuni beberapa orang lelaki, lalu terus dipukul,” katanya dalam video tersebut.

kes pukul
Keadaan mangsa setelah dipukul sekumpulan lelaki.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan beberapa bahagian badan termasuk di bibir hingga memerlukan jahitan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian berkenaan sambil berkata, ia berlaku kira-kira pukul 9.30 malam, Jumaat lepas.

Beliau turut mengesahkan, pihaknya sudah menahan lapan individu termasuk seorang wanita, berusia antara 19 hingga 26 tahun.

Kesemua suspek ditahan di lokasi kejadian pada pukul 2.30 pagi semalam.

“Suspek direman enam hari sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan.

“Lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan berkaitan jenayah dan dadah. Saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, video kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial.

Video tular, masing-masing berdurasi 35 saat dan satu minit 22 saat itu memaparkan mangsa dibelasah secara berterusan tanpa belas ihsan oleh kira-kira lima hingga tujuh lelaki lain.

Mangsa turut dirakam tidak melawan dan kelihatan lemah serta meronta kesakitan selain hidung kelihatan berdarah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button