BERITA SEMASA

SAC, NUG beri komitmen kekang peningkatan konflik bersenjata

PUTRAJAYA – Dalam usaha meredakan ketegangan yang berlarutan di Myanmar, kedua-dua pihak bertelagah – Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) – telah menyatakan kesediaan untuk mengekang peningkatan konflik bersenjata.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu usaha bantuan kemanusiaan dapat diberikan di negara yang masih dilanda konflik tersebut.

“Semangat kedua-dua pihak, SAC dan NUG, adalah keutamaan yang mesti diberikan kepada usaha kemanusiaan dan pembinaan semula.

“Dalam masa yang sama, mereka akan melakukan apa sahaja yang perlu bagi mengelakkan lanjutan pertempuran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 Kementerian Kewangan di sini.

Anwar yang ditemani isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di majlis itu sejurus pulang dari lawatan kerja dua hari ke Bangkok, Thailand.

Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua organisasi tersebut atas pendirian tegas mereka bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara aman.

Ketika ditanya sama ada negara anggota ASEAN akan membincangkan isu berkaitan blok itu, Anwar memberitahu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya.

“Saya perlu berunding dengan pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain.

“Ini kerana pendirian ASEAN adalah untuk meneruskan penglibatan, konsensus lima perkara serta perbincangan inklusif dengan semua pihak dan kemudian saya akan membawa perkara ini semula kepada ASEAN,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SAC, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Pengerusi NUG, Mahn Win Khaing Than semasa kunjungannya ke Thailand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button