BERITA SEMASA

Kerajaan Negeri Selangor sedia inisiatif pemulihan mangsa kebakaran Putra Heights

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor akan memastikan mangsa kebakaran akibat letupan saluran gas di Putra Heights baru-baru ini terutamanya golongan wanita terus diberikan perhatian melalui pelbagai inisiatif pemulihan.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Shari berkata, setakat ini pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan kepada 499 ketua isi rumah yang disahkan terjejas menerusi data yang dikumpulkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Anfaal berkata, itu merupakan fasa pertama intervensi bagi menyelamatkan keluarga-keluarga yang hilang tempat berteduh.

“Kita sekarang telah memasuki fasa kedua iaitu fasa pemulihan.

“Fokus utama adalah baik pulih kawasan terjejas dan menyediakan tempat tinggal sementara atau ‘shelter’ untuk mangsa yang kehilangan rumah,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Anfaal memaklumkan agensi di bawah pentadbiran beliau seperti Wanita Berdaya Selangor akan terus memainkan peranan dalam mengenal pasti golongan wanita yang memerlukan bantuan jangka panjang, termasuk mereka yang hilang sumber pendapatan akibat insiden itu.

“Saya mendapat maklumat tentang satu keluarga yang rumahnya musnah sepenuhnya.

“Ibu kepada keluarga ini menjalankan perniagaan makanan sejuk beku (frozen food) dari rumah dan premis kecilnya juga hangus dijilat api,” ujarnya.

Menurutnya, kes seperti itu akan dikenalpasti dengan segera.

“Kami akan megenal pasti mereka yang mempunyai perniagaan, supaya mereka bangkit semula setelah apa yang mereka alami,” jelasnya.

Kerajaan negeri menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Yayasan Hijrah dan MBI Selangor kini sedang mengenal pasti bentuk bantuan yang sesuai, termasuk bantuan modal atau pinjaman mikro untuk membantu mangsa memulakan semula perniagaan.

“Kita juga boleh membantu mereka melalui platform-platform seperti FLATS (Fasilitasi Latihan & Sokongan) dengan kerjasama MBI dan pelbagai pihak lain,” ujarnya.

Tambah Anfaal, Pusat Wanita Berdaya turut menggerakkan pelbagai program sokongan keusahawanan dan pembangunan kapasiti wanita secara berperingkat bagi memastikan mangsa khususnya wanita dapat bangkit semula selepas musibah.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button