Koperal parah akibat tertembak diri sendiri masih kritikal
GEORGETOWN – Keadaan anggota polis yang parah dipercayai akibat tertembak diri sendiri di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini semalam, masih kritikal.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, mangsa berpangkat koperal berusia 58 tahun itu masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang.
“Mangsa belum sedarkan diri dan keadaannya masih kritikal,” katanya, hari ini.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa mangsa mengalami kemurungan serta mempunyai masalah hutang, Lee berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk dakwaan itu.
“Kita juga dalam proses merakamkan keterangan keluarga mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
“Kita belum kenal pasti punca mangsa bertindak sedemikian dan sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut,” katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang anggota berpangkat koperal yang bertugas di Cawangan Kem Komandan itu ditemui cedera di bahagian kepala di bilik pengawal pada pukul 6.12 petang dipercayai akibat tertembak diri sendiri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39, Akta Senjata 1960.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







