Fadhlina umum tanding jawatan Ketua Cabang PKR Nibong Tebal
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek hari ini mengumumkan bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Nibong Tebal dalam pemilihan peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, bulan ini..
Fadhlina yang sebelum ini mengumumkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita PKR berkata, beliau terhutang budi selamanya kepada cabang berkenaan kerana kerja keras anggota parti, pasukan Pakatan Harapan (PH) dan rakyat yang telah menghantarnya ke Parlimen.

“Maka izinkan saya dengan rendah dirinya untuk menawarkan diri dan khidmat kebaktian tertinggi untuk parti di cabang Nibong Tebal.
“Saya dan rakan-rakan mempertaruhkan seluruh jiwa, tenaga dan pasukan kami dengan kekuatan kemajmukan dan semangat keluarga besar KEADILAN,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Tambahnya, anggota parti perlu merangkul setiap kekuatan yang ada, dalam menerajui iltizam untuk memperkukuh parti dalam kepelbagaian menerusi bingkai kesatuan.
“Kami tekad untuk memimpin serta menavigasi cabang KEADILAN yang telah menghimpun kekuatan anggota parti yang komited sepanjang ia ditubuhkan.
“Mohon mandat rakan-rakan anggota Cabang Nibong Tebal untuk saya memimpin cabang ini sebagai calon Ketua Cabang yang baharu,” kata Fadhlina lagi.
Dalam hantaran sama, Fadhlina turut mengucapkan penghargaan kepada mantan Ketua Cabang Nibong Tebal, Datuk Dr. Amar Pritpal yang cukup berani dan berjiwa besar dalam membuat keputusan ini bersama.
“Pengalaman beliau yang cukup panjang dalam parti ini membuatkan saya kekal memilih beliau sebagai calon Timbalan Ketua Cabang Nibong Tebal.
“Kedua, penghargaan setingginya buat anggota parti Cabang Nibong Tebal yang bersama mendukung agenda memperkukuhkan parti ini tanpa berbelah bahagi.
“Ketiga, buat semua otai reformis khususnya Datuk Mahtar (Shapee) dan ayahanda/ bonda reformis yang sentiasa ada memberikan pedoman kepada kami untuk terus membawa panji KEADILAN.
“Keempat, saya tidak akan mampu berada disini tanpa kekuatan sayap wanita cabang khususnya Kak Norshakila dan pasukannya yang amat saya kasihi,” katanya lagi.
Tedahulu, Fadhlina sudah mengumumkan mempertahankan jawatan Ketua Wanita PKR yang disandangnya sejak pemilihan 2022.
Kali ini, beliau sekali lagi akan berhadapan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti bagi sesi 2025-2028, akan dilaksanakan pada 24 Mei depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








