MB Selangor nafikan lindungi kontraktor isu letupan paip gas
SUBANG JAYA — Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa kenyataannya yang dibuat pada hari pertama insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights 1 April lalu disalah faham oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan salah tanggapan.
Menurut beliau, kenyataan awal yang menyebut tentang kewujudan jengkaut di lokasi kejadian bukanlah cubaan untuk membuat kesimpulan awal atau mempertahankan mana-mana pihak, sebaliknya berdasarkan maklumat awal daripada pihak polis.
“Saya nak maklumkan bahawa kenyataan itu sedikit sebanyak telah disalah faham. Dalam perbincangan ringkas saya dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memang kita sudah menjangka ada jengkaut yang terbenam.
“Itulah (sebab) yang saya katakan — kalau ada maklumat, sampaikan. Dan yang keduanya, kita kena cari di mana jengkaut itu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah beliau, kenyataan tersebut tidak bertujuan untuk menutup sebarang kemungkinan atau mempertahankan kontraktor yang terlibat.
“Bila saya cakap begitu, saya dituduh pula mempertahankan kontraktor.
“Tidak timbul isu saya cuba menafikan ada aktiviti korek tanah atau melindungi sesiapa, seperti yang dipertikaikan segelintir individu di media sosial,” jelasnya.
Beliau turut mengakui berdepan pelbagai kecaman berterusan sejak kejadian tersebut berlaku.
“Saya kena terangkan banyak kali. Serangan yang bertabur-tabur ini saya rasa akan berterusan sehingga hari kiamat,” katanya.
Dalam pada itu Amirudin menegaskan bahawa pasukan jawatankuasa bencana, termasuk barisan penyiasat akan menjalankan tugas secara adil dan berdasarkan fakta, tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
“Saya amat yakin bahawa arahan saya sangat jelas — kita mahu siasatan yang menyeluruh dan memastikan kebertanggungjawaban dikenakan kepada mereka yang sewajarnya.
“Tiada ‘fear or favour’ dalam proses ini,” tegas beliau.
Setakat ini, siasatan terhadap punca sebenar letupan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pelbagai agensi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















