Hormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan – Mohd Na’im
PUTRAJAYA – Semua pihak harus menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang dianuti majoriti rakyat di Malaysia, seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan, ini termasuk mengelakkan daripada menimbulkan sebarang isu yang boleh mencetuskan sensitiviti agama yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Saya merujuk kepada insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang dilakukan di media sosial baru-baru ini.
“Perbuatan ini adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial hantaran berbentuk komen yang dibuat oleh seorang pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW dan juga amalan ibadah umat Islam dengan kata-kata yang tidak sopan dan berunsur penghinaan.
Sehubungan itu, Mohd. Na’im dukacita kerana insiden-insiden sebegini masih berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia yang seharusnya telah memahami batas-batas sensitiviti agama.
Katanya, individu terutamanya pengguna media sosial sepatutnya sedar mengenai implikasi undang-undang dalam membuat sebarang hantaran atau komentar.
Sehubungan itu, jelas beliau, agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memperkukuh usaha dan program kesedaran masyarakat bagi memastikan orang ramai lebih berwaspada dalam menggunakan media sosial.
“Semua perlu sentiasa menjaga adab dan batas sensitiviti agama. Usaha ini penting bagi memelihara keharmonian dan kesejahteraan antara kaum dan agama di negara kita,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







