Sukan

Zamsaham sedia jumpa penyokong Kelantan FC

KUALA LUMPUR – Segala persoalan berhubung kemelut yang dihadapi oleh pasukan Kelantan FC akan dijawab pemiliknya Norizam Tukiman dalam satu majlis jamuan makan bersama penyokong, Sabtu ini.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Norizam yang lebih mesra dengan panggilan Zamsaham, berkata dia bersedia bertemu penyokong ‘The Red Warriors’ di Kota Bharu.

Jelasnya, majlis terbabit dirancang untuk dilangsungkan pada bulan Syawal namun timbul kekangan sehingga hanya dapat dilakukan pada hujung minggu ini.

“Pada 3 Jun 2023 ini boleh hadir ke Zamburger Kelantan di Kota Bharu. Saya buat jamuan makan sambil bertemu dengan semua peminat TRW Kelantan FC. Masa jam 2 hingga 5 petang.

“Saya mohon maaf kerana jadual nak buat awal masa raya tak tercapai kerana saya hadir EXPO halal di Kanada. Insya-Allah semua yang berkelapangan hadir pada 3 Jun 2023, Sabtu di Zamburger Kelantan, Kota Bharu.

“Ada ruangan sesi soal jawab. Jemput semua hadir,” katanya dalam kenyataan ini.

Terdahulu, selepas bekas jurulatih, Choi Moon Sik dan ejennya, Myeongho Jeong mendedahkan situasi ‘di belakang tabir’ pasukan ini, pasukan dari Pantai Timur itu terus berdepan tamparan hebat apabila tiba giliran pemainnya pula melakukan perkara sama.

Penjaga gol pasukan itu, Farhan Abu Bakar, menerusi hantaran di Instagram Story miliknya mendedahkan, kemelut yang berlaku dalam pasukan tersebut adalah tidak berperikemanusiaan.

Menurut Penjaga gol kebangsaan itu, dia  mengakui hairan kerana perlu meminta wang pendahuluan sedangkan pasukan itu sedang berdepan tunggakan gaji bagi bulan April.

Selain itu, Farhan turut berkongsi audio perbualan di laman media sosialnya dipercayai antara bekas pemain ataupun jurulatih dengan pengurusan pasukan itu.

Dalam audio terbabit, individu dipercayai wakil pengurusan telah menghamburkan kata-kata kurang enak selain turut mengherdik individu tersebut selepas dia meminta gajinya.

Show More

Related Articles

Back to top button