Polis rakam keterangan lelaki didakwa tampar murid Tahun Satu
JOHOR BAHRU – Polis sudah merakam keterangan lelaki yang didakwa menampar seorang murid Tahun Satu sebuah sekolah di sini sehingga terhantuk di dinding, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Lelaki berkenaan sudah memberi keterangan.
“Polis akan merujuk kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya ringkas, hari ini.
Sementara itu, mangsa yang berumur tujuh tahun difahamkan sudah dibenarkan pulang ke rumah malam tadi.
Menurut jurucakap pusat perlindungan, kanak-kanak itu dipantau selama dua hari di sebuah hospital awam.
“Kesakitan dialami sudah berkurangan namun kami tidak pasti sama ada dia masih trauma ketika ke sekolah,” kata jurucakap itu lagi.
Kelmarin, media melaporkan kejadian menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang juga merupakan penghuni sebuah pusat perlindungan.
Mangsa didakwa dipukul dan ditampar dua kali sehingga kepalanya terhantuk di dinding dalam kejadian di sebuah sekolah di Jalan Abdul Rahman Andak, di sini.
Kejadian itu dipercayai dilakukan seorang bapa kepada seorang murid di sekolah terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












