BERITA SEMASA

Jakel nafi roboh kuil yang berada di tanah wakaf miliknya, cari penyelesaian menang-menang

KUALA LUMPUR – Syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) menegaskan rancangan pembinaan masjid di atas tanah yang diwakafkan oleh pengasas syarikat itu di Jalan Masjid India di sini tidak akan dilaksanakan lagi sebagai menghormati kedudukan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang masih beroperasi di kawasan tersebut.

Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporatnya, Aiman Darzuki berkata, perbincangan dengan pihak kuil telah dijalankan secara berterusan sejak 2009 bagi mencapai penyelesaian terbaik bagi menjaga kepentingan semua pihak.

“Perbincangan ini sudah berlangsung lebih 10 tahun dan kita tidak pernah membawa perkara ini ke mahkamah kerana percaya kepada pendekatan harmoni dan situasi menang-menang,” katanya memetik laporan Sinar Onlien dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Aiman memberitahu, usaha yang dilakukan Jakel pada masa ini adalah berkaitan pemindahan kuil ke lokasi baharu dengan bantuan daripada kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tidak ada istilah merobohkan kuil, sebaliknya kita menunggu proses pemindahan dan persetujuan daripada pihak kuil tersebut,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Aiman memberitahu, tanah bagi pembangunan masjid itu adalah milik penuh syarikat sejak 2012 selepas perjanjian pembelian dengan DBKL.

Ujar beliau, tanah itu diwakafkan oleh pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk tujuan pembinaan masjid bagi kegunaan komuniti setempat.

“Jakel telah memperoleh kelulusan pembangunan pada 2020 dan pelan bangunan pada 2021 untuk pembinaan masjid tiga tingkat dengan sub-basement.

“Namun, pembinaan masih ditangguhkan bagi menghormati kedudukan kuil yang masih beroperasi di lokasi tersebut,” jelas beliau.

Menjawab mengenai majlis pecah tanah yang bakal diadakan pada 27 Mac ini, Aiman memberitahu, acara itu diadakan sebagai simbolik kepada komitmen Jakel terhadap pembinaan masjid, selaras dengan niat wakaf pengasas syarikat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button