BERITA SEMASADALAM NEGERI

Wagon Kiosk Kasih YKN meriahkan Program Ceria Syawal@KPWKM

MENJELANG Syawal, antara perkhidmatan yang sering dicari ramai ialah alteration pakaian, gunting rambut dan juga juadah berbuka.

Faham dengan situasi ini, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan penuh rasa tanggungjawab membawakan acara Wagon Kiosk Kasih YKN khas buat warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Perkhidmatan wagon kiosk gunting rambut yang dikendalikan oleh anak-anak di bawah program Anjung Sinar.

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron berkata, acara itu diadakan sempena Program Ceria Syawal@KPWKM.

“Program ini merupakan hasil daripada inisiatif Anjung Sinar, Wanita Bangkit Bersasar dan Wanita Dinamik yang bertujuan membantu serta memperkasakan wanita dalam pelbagai bidang.

“Wagon Kiosk Kasih YKN akan berlangsung selama empat hari pada 13, 14, 17 dan 19 Mac ini bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang bertempat di lobi dan pekarangan KPWKM.

Nordina berharap melalui program anjuran YKN ini dapat menyantuni keperluan warga kementerian menjelang Syawal kelak.

“Pelbagai perkhidmatan menarik akan disediakan termasuklah ubahsuai pakaian, gunting rambut, infak juadah berbuka dan agihan bubur lambuk percuma serta jualan produk dari penjara wanita,” ujar Nordina ketika ditemui Malaysia Tribune pagi tadi.

Menurut beliau, melalui acara tersebut, YKN membawakan perkhidmatan bagi menyantuni keperluan warga kementerian menjelang Syawal yang berbaki dua minggu lagi.

“Lebih istimewa, 10 orang terawal setiap hari akan dapat menggunakan perkhidmatan tersebut secara percuma, selebihnya akan membayar pada harga minima.

Khidmat ubahsuai pakaian oleh Mazni, salah seorang peserta Wanita Dinamik di bawah YKN.

“Sebenarnya, program Wagon Kasih YKN ini telah bermula sebelum Ramadan di beberapa Stesen LRT dan kami turut bawakan ia ke kawasan komuniti untuk menyantuni masyarakat yang memerlukannya,” kata beliau.

Bagi Mazni Che Mohd Zailani yang menawarkan perkhidmatan alteration pakaian, beliau teruja dengan peluang menyertai acara itu.

“Saya sudah berada dalam bidang jahitan ini sejak tahun 2020 dan terlibat dengan program Wanita Dinamik.

“Bila terpilih, rasa seronok untuk cuba perkara baru dan akan berusaha memberi khidmat terbaik buat warga kementerian ini,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang kakitangan KPWKM, Azharuddin A. Rashid gembira kerana dapat menjadi salah seorang yang terawal menggunakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma.

Azharuddin gembira dengan potongan rambut terbarunya dan menjadi 10 peserta terawal mendapatkan perkhidmatan tersebut secara percuma.

“Ia satu acara yang bagus bagi memberi peluang kepada kakitangan mendapatkan perkhidmatan sebegini.

“Servis yang diberikan tukang gunting pun sangat baik dan teknik yang digunakan kena dengan citarasa saya,” kongsinya.

Selain menikmati perkhidmatan yang ditawarkan, program ini juga membuka peluang kepada orang ramai untuk berinfak dalam agihan juadah berbuka.

Acara Wagon Kiosk Kasih YKN ini diadakan sempena Program Ceria Syawal@KPWKM.
Acara Wagon Kiosk Kasih YKN ini diadakan sempena Program Ceria Syawal@KPWKM.

Ia secara tidak langsung memberi peluang keemasan untuk meraih pahala dan keberkatan berganda sempena bulan Ramadan yang penuh rahmat ini.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyertai program istimewa Wagon Kiosk Kasih YKN ini.

Pastikan anda LIKE dan FOLLOW media sosial YKN bagi melayakkan diri mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Jom bersama kita raikan Ramadan dan Syawal dengan penuh kemeriahan dan kasih sayang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button