BERITA SEMASA

Hab Sosial Anjung Dinamik dilancar, YKN fokus perkasa golongan rentan capai kehidupan berdikari

DENGKIL – Usaha memperkasa golongan rentan diperkukuh menerusi pelancaran Anjung Dinamik iaitu Hab Sosial Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai pusat sehenti berteraskan pembangunan komuniti secara holistik.

Inisiatif strategik yang dilancarkan sempena lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di sini semalam, menggabungkan latihan kemahiran, sokongan psikososial dan peluang penjanaan pendapatan dalam satu ekosistem bersepadu.

Anjung Dinamik menyasarkan kumpulan B40, ibu tunggal, wanita sebagai pencari nafkah utama, banduan wanita, anak-anak program Anjung Sinar serta golongan rentan lain untuk dibimbing ke arah kehidupan lebih stabil dan berdikari.

ykn
Nancy (kanan) melawat Galeri Mekar Dinamik yang memaparkan hasil tangan golongan sasar.

Berteraskan nilai KASIH iaitu Kasih Sayang, Akhlak Mulia, Sihat, Ilmu dan Harmoni, hab sosial berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk Kafe Barista ‘Ngopi dan Cerita’, Galeri Mekar Dinamik, Bilik Kaunseling Mindness Kasih PSSS, studio podcast serta kemudahan penginapan melalui Program Anjung Sinar.

Nancy berkata, pendekatan Anjung Dinamik mencerminkan anjakan dalam kaedah kebajikan sosial negara yang tidak lagi tertumpu kepada bantuan sementara semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pemerkasaan mampan.

“Melalui inisiatif ini, golongan sasar diberi ruang membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran dan seterusnya menjana pendapatan bagi menjalani kehidupan lebih bermaruah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, pendekatan bersepadu itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial yang inklusif dan berdaya tahan.

Premis ini menyasarkan kumpulan B40, ibu tunggal, wanita sebagai pencari nafkah utama, banduan wanita, anak-anak program Anjung Sinar serta golongan rentan lain untuk dibimbing ke arah kehidupan lebih stabil dan berdikari.

Antara komponen utama, Kafe ‘Ngopi dan Cerita berperanan sebagai platform latihan dalam suasana perniagaan sebenar, manakala Galeri Mekar Dinamik membuka ruang kepada banduan wanita, usahawan Wanita Dinamik dan individu orang kurang upaya (OKU) memasarkan hasil kreativiti mereka.

Pada masa sama, Bilik Kaunseling Mindness Kasih PSSS dan platform podcast turut memainkan peranan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kesihatan mental, keganasan rumah tangga, gangguan seksual serta pelbagai isu sosial semasa.

Sebagai pelengkap, kemudahan Penginapan Anjung Sinar disediakan bagi membantu lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam fasa peralihan ke arah kehidupan berdikari melalui pendekatan pembangunan menyeluruh.

“Saya yakin bahawa Anjung Dinamik akan terus berkembang sebagai sebuah ekosistem sokongan yang inklusif dan berdaya tahan.

“Ia bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, membuka peluang kedua, malah melahirkan individu yang mampu berdikari dan menyumbang kembali
kepada masyarakat,” katanya.

ykn
Bilik Kaunseling Mindness Kasih PSSS dan platform podcast turut memainkan peranan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kesihatan mental, keganasan rumah tangga, gangguan seksual serta pelbagai isu sosial semasa.

Inisiatif yang disokong di bawah Belanjawan 2026 Malaysia MADANI itu dijangka terus diperkasa melalui peluasan fungsi sebagai hab latihan kemahiran lebih komprehensif, merangkumi bidang terapi kecantikan, dandanan rambut, jahitan, pembuatan pastri dan kraftangan.

Dengan pelaksanaan Anjung Dinamik, YKN terus komited membina ekosistem sokongan sosial yang inklusif, mampan dan berimpak tinggi demi kesejahteraan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button