
Ismail Sabri kesal kelulusan pembinaan litar drag dibatalkan
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri melahirkan perasaan kesal dengan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana peruntukan untuk pembinaan litar tersebut telah diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia.
“Ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, sebanyak RM20 juta telah
diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar perlumbaan drag
untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius
dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.
“Litar drag ini juga akan menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar professional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.
“Kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini merupakan salah satu punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Menteri Belia dan Sukan di Parlimen mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri.
Justeru, beliau mencadangkan agar pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meninjau dan melawat litar perlumbaan drag yang telah siap dibina di Terengganu dan Johor.
“Kos pembinaan litar drag di Johor adalah pada kadar minimum seperti pembinaan litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstand.
“Pembinaan litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap pada tahun 2022 juga hanya melibatkan kos sebanyak RM1.3 juta iaitu satu usaha kerjasama di antara agensi swasta, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri.
“Menteri Belia dan Sukan seolah-olah tidak memahami aspirasi anak muda dan minat mereka dalam bidang permotoran ini.
“Pihak KBS diharap dapat memberi pertimbangan sewajarnya akan cadangan tersebut agar satu penyelesaian tuntas dapat diberikan dan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh para belia,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













