PENDAPATRENCANA

Majlis Media Malaysia harus berpaksi keadilan, jaminan iklim bersuara yang sihat

Oleh PROF DATUK DR. AHMAD MURAD MERICAN

RANG Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang dicadangkan harus berlandaskan prinsip keadilan, perlindungan dan kebebasan profesion kewartawanan.

Namun, terdapat beberapa perkara asas yang perlu diperhalusi agar ia dapat benar-benar berfungsi sebagai mekanisme kawal selia kendiri yang bebas daripada pengaruh luar dan kerajaan.

Cadangan oleh Ahli Parlimen, bukan oleh kerajaan

Dari segi asasnya, adalah lebih wajar jika Majlis Media Malaysia dicadangkan melalui RUU Ahli Parlimen (Private Member’s Bill) dan bukannya dibawa oleh kementerian atau menteri.

Walaupun kerajaan mempunyai kepentingan dalam media dan kewartawanan, peranan mereka seharusnya tidak mencampuri proses ini agar jurang pengaruh dan konteks kuasa antara kerajaan dan media dapat dikekalkan.

Kerajaan boleh berperanan sebagai pemudah cara dalam pembentukan mekanisme kawal selia kendiri, tetapi tidak sepatutnya menjadi pihak yang menentukan hala tuju MMM, apatah lagi sebagai pembawa usul di Parlimen.

Jika kerajaan yang mencadangkan RUU ini, maka sejak awal lagi premisnya bukan lagi pengawalan diri tetapi lebih kepada pengawalan oleh pihak berkuasa negara.

Kebimbangan terhadap wakil kerajaan dalam Lembaga MMM

Satu lagi isu yang membimbangkan ialah peruntukan dua wakil kerajaan dalam Lembaga MMM. Walaupun kerajaan menjelaskan bahawa mereka akan mewakili ‘media kerajaan/awam’, ini sebenarnya boleh disalah tafsir dan disalah guna.

Sebarang wakil daripada RTM atau Bernama misalnya, harus dilihat sebagai sebahagian daripada profesion kewartawanan dan bukan sekadar mewakili media kerajaan.

Penetapan kategori media seperti ‘media bebas,’ ‘media arus perdana,’ ‘media awam,’ ‘media swasta’ dan ‘media alternatif’ juga tidak wajar kerana ia boleh mencerminkan kecenderungan tertentu. Ini yang saya lihat dalam kerangka naratif yang sedang wujud sekarang.

MMM sebagai tribunal yang adil dan saksama

Sebagai sebuah badan kawal selia kendiri, MMM mesti berfungsi seperti tribunal yang adil dan tidak memihak. Ini bermaksud ia beroperasi sebagai saluran aduan terhadap wartawan dan pertubuhan media berita.

Namun apa yang kita lihat dalam cadangan RUU ini ialah kurangnya penekanan terhadap takrifan profesion kewartawanan itu sendiri.

Persoalan asas seperti siapa yang dianggap sebagai wartawan dan organisasi yang layak terlibat dalam MMM perlu dijelaskan.

Wartawan dan orang awam adalah pihak yang perlu dilindungi dalam RUU ini. Oleh itu, mekanisme tribunal yang berfungsi menimbang tara konflik adalah sangat diperlukan.

Isu penghukuman dan kod etika

Cadangan MMM juga tidak jelas mengenai bentuk hukuman atau mekanisme penegakan peraturan.

Kod etika kewartawanan yang diumumkan sebelum ini perlu disemak semula dan digabungkan dalam struktur MMM sebagai asas kawal selia.

Rasionalnya ialah menggunakan peruntukan etika sebagai bentuk akauntabiliti dan bukan sekadar hukuman. Kod etika dan perilaku wartawan yang seharusnya menjadi sebahagian dari RUU wajar menjelaskan kaedah dan jenis hukuman dan sama ada ia membabitkan hukuman punitif seperti penjara atau denda; atau celaan atau pernyataan dari Lembaga MMM itu sendiri.

Jenis hukuman juga boleh menggaris sama ada individu atau organisasi. Apa yang perlu diingatkan bahawa majlis memainkan peranan besar dan signifikan dalam menegur prestasi media atas kesalahan dalam ketepatan dan kefaktaan ataupun meninggalkan/membendung maklumat yang wajar disiarkan; atau memberi ulasan/komentar yang tidak seimbang.

Ini tidak bermakna pertubuhan media dan dasar editorial tidak boleh memihak. Media memang boleh bersifat partisan. Lembaga MMM mesti membenarkan dan menggalakkan kritikan dan percambahan pendapat dan perdebatan yang sihat.

Selain itu, MMM boleh menjadi platform perbincangan mengenai kebebasan akhbar dan bersuara.

Perlu juga diperjelaskan sama ada blogger dan individu di luar profesion kewartawanan akan dimasukkan dalam MMM atau tidak.

Pelesenan dan akreditasi

Di samping itu, persoalan mengenai pelesenan dan akreditasi wartawan juga harus dibincangkan secara mendalam.

Memang secara kebiasaan, sesiapa sahaja dikatakan boleh menjadi wartawan. Namun, kewujudan mekanisme seperti ini mesti memperhalusi anatomi dan fungsi kewartawanan sebagai profesion.

Ini bukan menyekat kebebasan bersuara tetapi menggariskan piawai amalan dan pengamal media. Negara memerlukan kewartawanan yang matang dan berkualiti.

Perbezaan antara mereka yang benar-benar dalam profesion kewartawanan dan mereka yang hanya terlibat secara tidak langsung dalam penyebaran maklumat perlu diperjelaskan.

Ringkasnya, secara amalan konvensional di negara-negara demokrasi, kerajaan tidak mempunyai locus standi untuk mencadangkan mekanisme kawal selia kendiri ini.

Fungsi kewartawanan dalam media harus dipisahkan dengan jelas daripada konsep ‘industri media’ kerana ia bukan sekadar satu sektor ekonomi tetapi sebuah profesion yang memikul tanggungjawab kepada masyarakat.

Walaupun MMM dicadangkan sebagai sebuah badan statut perundangan, fungsinya lebih sesuai sebagai tribunal yang mengawasi kewartawanan secara adil, menentukan iklim kebebasan bersuara yang sihat serta menjamin keharmonian masyarakat dan negara.

Namun, perlu diingat bahawa sebarang cadangan yang dibawa ke Parlimen baru-baru ini bukanlah keputusan muktamad – ia masih perlu melalui Dewan Negara dan diwartakan sebelum dikuatkuasakan.

Kesimpulan

Locus standi untuk mengusul, mencetuskan, menghasilkan dan mengendalikan mekanisme kawal selia kendiri ini harus datang daripada profesion kewartawanan sendiri bersama dengan penerbit dan pemilik media – bukan dari kerajaan.

Tujuan utama MMM seharusnya untuk mengekalkan kebebasan media dan kebebasan bersuara serta memastikan akauntabiliti dan tanggungjawab kewartawanan. Sepertimana dalam perlantikan Hakim/Ketua Hakim Negara, Pengerusi Majlis Media Malaysia perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Ini tidak ada dalam mana-mana bahagian RUU.

Justeru, pengerusi akan menentukan mekanisme kawal selia ini bersandarkan kepada kod etika yang jelas dan bukan sekadar menjadi alat kawalan kerajaan ke atas media.

Ia perlu berpusat kepada semua bentuk dan pelantar kewartawanan – cetak, radio, televisyen dan dalam talian. Dan mekanisme ini mesti bijak memisahkan pengeluaran media kewartawanan dengan media sosial. Kod etika dan perlakuan yang sepatutnya integral dengan kerangka mekanisme kawal selia kendiri tidak wajar merangkumi media sosial.

Naratif ini perlu dibawa ke hadapan dalam setiap cadangan berkaitan kawal selia kendiri media di Malaysia.

* Penulis merupakan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Prof Datuk Dr. Ahmad Murad Merican

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button