PM terima kunjungan Zhao Leji
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14, Zhao Leji, di sini semalam.
Anwar berkata, beberapa menteri kabinet turut menyertai pertemuan itu bagi meningkatkan kesalinghubungan Putrajaya-Beijing dalam bidang pelaburan, pendidikan, kerjasama antara universiti serta penyelidikan dan pembangunan.
“Kesempatan ini juga saya gunakan dalam menzahirkan penghargaan kepada kerajaan China di atas layanan luar biasa yang diberikan semasa lawatan rasmi saya dari 29 Mac hingga 1 April yang lalu.
“Perbincangan hari ini juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) seperti projek berkembar melibatkan kedua-dua negara, iaitu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) selain terus mempromosi pertukaran dan kerjasama antara Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Parlimen Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, katanya, kedua-dua pihak juga sepakat menyuburkan perkongsian terhadap nilai bersama Malaysia MADANI dan wawasan “Community With a Shared Future for Mankind” untuk faedah bersama rakyat.
Pada masa sama katanya, cadangan penubuhan Tabung Kewangan Asia adalah selari dengan aspirasi “Community With a Shared Future for Mankind”.