BERITA SEMASA

Acara tradisional meriahkan Karnival Rakyat Padang Jawa

PADANG JAWA – Karnival Rakyat Padang Jawa yang dianjurkan oleh Kumpulan 14 daripada Kohort 4 Akademi Kepimpinan Wanita, dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor berlangsung penuh meriah, baru-baru ini.

Menurut Ketua Kumpulan 14, Nur Adilla, karnival itu bukan sekadar satu acara tetapi sebuah platform untuk menghidupkan kembali permainan tradisional yang semakin dilupakan.

“Dengan pelbagai acara menarik, kami berharap dapat mengeratkan hubungan sesama jiran serta memberi ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersatu dalam suasana yang penuh kegembiraan,” katanya.

Masyarakat kampung Padang Jawa yang bersama- sama menjayakan Karnival Rakyat dengan penuh meriah.

Pelbagai acara yang mengujakan telah dianjurkan termasuk cabutan bertuah, pertandingan bowling kelapa, pertandingan rebut bola, pertandingan rebut selipar dan pertandingan cari gula-gula dalam tepung untuk kanak-kanak.

Selain itu, acara Explorace yang melibatkan 16 kumpulan turut menjadi acara yang dinantikan oleh golongan muda.

“Explorace ini memberi peluang kepada peserta untuk menjelajah seluruh kampung sambil menyelesaikan cabaran-cabaran yang telah disediakan.

“Ini juga satu cara untuk membangkitkan semangat kerjasama dan persefahaman dalam kalangan peserta,” katanya.

Tidak ketinggalan, pertandingan masakan berasaskan labu kuning yang dianjurkan oleh Wanita Inspirasi (WI) turut memeriahkan suasana.

Para ibu tunggal juga turut mengambil bahagian dalam pertandingan cedok gula-gula menggunakan sudu, yang menceriakan karnival dengan gelak tawa serta semangat kesukanan.

“Karnival ini bukan sahaja untuk berhibur tetapi juga untuk mengingatkan kita tentang pentingnya semangat kejiranan dan perpaduan.

“Kejayaan acara ini adalah bukti bahawa masyarakat kita masih padu dalam menjalinkan hubungan yang harmoni,” ujarnya lagi.

Karnival ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor, Siti Faridah Abdul Samad, turut dihadiri Ahli Majlis Zon 21, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Nur Zairina Muzaini.

Kejayaan penganjuran karnival ini mencerminkan usaha berterusan Akademi Kepimpinan Wanita dalam memberdayakan komuniti dan memastikan wanita terus memainkan peranan penting dalam kepimpinan sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button