Monopoli projek kerajaan di Sarawak, lapan ditahan setakat ini
KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi individu yang disyaki memberi rasuah bagi memonopoli projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di negeri ini.
Perintah reman selama empat hari terhadap dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Sandy Yvette Freddy selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Miri.
Penahanan itu menjadikan lapan termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat ditahan reman setakat ini.
Terdahulu SPRM Sarawak menahan enam individu iaitu dua di Mahkamah Majistret Sibu manakala empat lagi di Kuching.
Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.
Menurut sumber, kedua-dua suspek terbaharu itu ditahan kira-kira pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari semalam di beberapa lokasi sekitar Sarawak dalam satu operasi khas yang dijalankan.
“Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada tahun 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan turut menerima komisyen sehingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.
“Pada masa yang sama, jurutera awam tersebut turut menerima upah kerana membantu mendapatkan projek-projek jabatan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








