HARI ini bersamaan 6 Syaaban 1446H yang merupakan bulan penuh keberkatan buat umat Islam.
Syaaban sering disebut bulan untuk kita mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang Ramadan, iaitu bulan yang dirindui para pencintanya.

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al Hafiz berkata, Rasulullah SAW lebih mengutamakan bulan Syaaban dengan amalan yang lebih banyak berbanding bulan lain, kecuali Ramadan.
“Syaaban adalah bulan yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW dan ia sering dikaitkan dengan amalan puasa sunat.
“Justeru, sebagai umat Islam, kita juga perlu mengambil peluang untuk memperbanyakkan ibadah agar hati lebih bersedia menyambut bulan suci yang akan menjelang tidak lama lagi,” ujar Dr. Muhammad Sufi kepada Malaysia Tribune.

Kepentingan bulan ini diperkuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, beliau berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak dalam satu bulan selain bulan Syaaban. Baginda berpuasa penuh pada bulan itu kecuali sedikit.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut Dr. Muhammad Sufi, hadis ini jelas menunjukkan betapa Nabi Muhammad SAW menghidupkan bulan Syaaban dengan amalan puasa sunat sebagai latihan sebelum melaksanakan ibadah puasa wajib di bulan Ramadan.
Selain itu, beliau menegaskan antara keistimewaan bulan Syaaban ialah ia menjadi waktu di mana amalan manusia diangkat kepada Allah SWT.

Dalam satu hadis Riwayat Nasa’i, Rasulullah SAW bersabda: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”
“Oleh itu, pada bulan ini umat Islam digalakkan untuk mula menyemai benih-benih kebaikan dengan memperbanyakkan amalan soleh.
“Antaranya seperti membaca al-Quran, bersedekah, berzikir, berselawat dan memperbanyakkan solat sunat serta taubat,” jelas beliau lagi.

Tambah beliau lagi, jika orang Muslim sudah membiasakan diri dengan amalan sedemikian, maka apabila masuknya bulan Ramadan, mereka akan lebih bersedia dan istiqamah melakukannya secara lebih intensif dalam meraih ganjaran daripada Allah SWT.
Tip Amalan di Bulan Syaaban:
* Berpuasa sunat
Amalkan puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa pertengahan bulan Syaaban (Hari Putih: 13, 14 dan 15 Syaaban) atau sekadar menghidupkan puasa selang sehari.
* Membaca a-Quran
Mulakan bacaan al-Quran pada bulan ini agar tidak terasa berat untuk mengkhatamkannya pada bulan Ramadan.
* Memperbanyakkan selawat
Lazimi dan basahkan bibir dengan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW kerana ia bulan yang sangat dicintai Baginda.
* Bertaubat
Amalkan solat sunat taubat setiap hari dan memohon keampunan kepada Allah SWT di atas segala dosa yang kita lakukan.
* Bersedekah
Cuba belajar sedekah secara istiqamah. Contohnya setiap hari berinfak pada waktu Subuh mengikut kemampuan diri. Ingat, bukan nilai yang Allah pandang tapi keikhlasan dalam memberi.
* Berdoa
Perbanyakkan doa agar Allah SWT menyampaikan kita kepada bulan Ramadan dalam keadaan sihat dan beriman. Antara doa yang masyhur iaitu: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadah pada bulan itu).”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








