BERITA SEMASA

KPM junjung kasih titah Seri Paduka, fokus pada Agenda Reformasi Pendidikan

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini, yang turut menyentuh pendidikan negara.

KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang memberi tumpuan membangunkan pelan pendidikan baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Agenda Reformasi Pendidikan yang direncanakan itu memberi tumpuan kepada enam fokus utama iaitu digital, bahasa, literasi, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta prasekolah.

“KPM merafak sembah menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena pembukaan penggal keempat, Parlimen Ke-15 pada 3 Februari 2025 yang turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan pendidikan negara.

“KPM sentiasa proaktif meningkatkan infrastruktur pendidikan bagi memastikan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua murid,” kata kenyataan itu, hari ini.

Selanjutmya, KPM turut berkata, kerajaan sentiasa memartabatkan pendidikan negara dan ini dapat dilihat menerusi Belanjawan 2025 apabila sejumlah 44 buah sekolah, 11 Pusat PERMATA yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik serta dua sekolah baharu bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) diluluskan pembinaannya.

Sementara itu, RM2 bilion turut diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuk institusi pendidikan KPM.

Manakala, RM1 bilion lagi untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak, manakala RM100 juta turut diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan kantin dan musolla di sekolah.

Dan bagi memperkasakan pendidikan TVET, kerajaan turut meningkatkan kadar Bantuan Geran Per Kapita (PCG) TVET sebanyak 15 peratus dengan kos keseluruhan berjumlah RM900 juta.

“Sejumlah RM1.2 bilion juga diperuntukkan kepada Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik seluruh negara yang menyediakan pendidikan kepada 77,000 orang pelajar,” katanya kenyataan iu lagi.

Justeru, KPM menegaskan, akan terus berusaha memastikan titah Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button