Rawatan Hepatitis C kini lebih berkesan, singkat – KKM
PUTRAJAYA – Kajian klinikal yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati rawatan bagi penyakit Hepatitis C kini lebih berkesan, singkat dan menjimatkan.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, dapatan itu diperoleh melalui kajian yang dinamakan EASE yang dilakukan di 27 tapak kajian merangkumi sembilan buah hospital dan 18 buah klinik di seluruh negara.
“Kajian menunjukkan keberkesanan regimen sofosbuvir/ravidasvir selama 8 minggu adalah hampir sama dengan rawatan 12 minggu bagi pesakit HCV kronik tanpa sirosis.
“Pengurangan tempoh ini mampu mengurangkan sebanyak satu pertiga kos rawatan sambil mengekalkan kadar penyembuhan yang tinggi,” menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook KKM hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Majlis Pelancaran Dapatan Kajian EASE yang diadakan di Institut Kesihatan Negara, Setia Alam, Selangor itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, semalam.
Untuk rekod, kajian EASE merupakan sebuah kajian klinikal yang bermula pada tahun 2019 dan dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta diselaraskan oleh Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Sultanah Bahiyah.

Turut hadir Pengarah DNDi Asia Tenggara, Dr Vanessa Daniel; Pengurus NIH, Dr Murizal Zainol dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Mohd Azri Mohd Suan.
Menurut KKM, hasil kajian itu merupakan pencapaian besar dalam mempercepatkan usaha penghapusan Hepatitis C di seluruh dunia, khususnya yang sering berlaku di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
“KKM akan terus komited dalam menjalankan kajian beretika dan berkualiti bagi menghasilkan bukti-bukti saintifik yang bermakna buat penjagaan kesihatan rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








