Jenayah & Mahkamah

Sembilan direman bantu siasatan kes tikam pengurus syarikat

MELAKA – Sepasang kekasih merupakan antara sembilan individu yang dikenakan perintah reman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan pengurus sebuah syarikat di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun sehingga Selasa depan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu kesemua suspek yang berpakaian lokap dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pada pukul 9 pagi tadi.

Laporan media sebelum ini menyebut, seorang lelaki maut akibat ditikam oleh seorang pelanggan lain setelah mangsa dipercayai mengeluarkan kata-kata kurang sopan mengenai seorang pelanggan wanita, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian mangsa yang berusia 35 tahun bersama beberapa rakannya datang ke gerai berkenaan dalam keadaan mabuk selepas selesai berhibur.

“Selesai makan, si mati dikatakan bercakap dengan rakannnya mengenai saiz payudara seorang pelanggan wanita di situ berusia 26 tahun yang kemudian ditegur lelaki berusia 27 tahun mendakwa dia adalah pengawal peribadi wanita terbabit,” kata Christopher.

Berikutan itu, keadaan menjadi tegang apabila berlaku tolak menolak dan tumbuk menumbuk antara si mati, pengawal peribadi dan kekasih wanita itu berusia 36 tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button