Suri rumah maut ditembak suami
KANGAR – Seorang suri rumah ditemukan maut dipercayai akibat ditembak suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal menggunakan pistol di sebuah rumah di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, disini pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 6 pagi itu, mangsa, Safsufarnisya Salleh, 26, ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di atas tilam dalam bilik tidur mereka.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dipercayai ditembak dibahagian kiri mata dengan jarak hanya 3 inci dari muka.
Berdasarkan siasatan awal, bapa mangsa terdengar jeritan mangsa pada kira-kira 5.30 pagi namun tiada apa berlaku sehinggalah terdengar beberapa das tembakan dilepaskan dari bilik tidur utama.
Sebaik terdengar bunyi tembakan, difahamkan ibu dan bapa mangsa bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri.
“Polis menerima panggilan kecemasan dari seorang lelaki dipercayai abang mangsa pada 7.30 pagi dan tiba ke lokasi setengah jam kemudian.
“Ketika serbuan dilakukan, suspek dan mangsa ditemui di bilik utama. Keadaan suspek ketika itu sedang berdiri memegang senjata manakala mangsa dalam keadaan berbaring… secara mengiring dengan berlumuran darah di bahagian muka.
“Setelah tangkapan dibuat dan rampasan pistol dilakukan, pemeriksaan lanjut pada mangsa didapati hanya satu kesan kecederaan di bahagian bawah mata sebelah kiri,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.
Kata Yusharifuddin, suspek telah bertugas selama 4 tahun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan baru selesai penugasannya pada pukul 5.30 pagi tadi.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kangar esok bagi proses mendapatkan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.