
Bekas MB Terengganu nafi kaitan dengan Hospital Bersalin Razif
KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd. Rahman menafikan sebarang kaitan dengan Hospital Bersalin Razif (HBR) di Klang, Selangor yang dikaitkan dengan dakwaan menyimpan mayat seorang bayi lelaki selama 16 hari.
Menurutnya, beliau tidak memiliki hospital tersebut walaupun ia menggunakan nama yang sama dengannya.
“Mohon bertenang semua. Bertalu-talu saya terima mesej dan komen di media sosial, ramai yang marah saya. Saya bukan pemilik Hospital Bersalin Razif.
“Salah orang itu, saya cuma ada Pusat Rehabilitasi Kuala Nerus,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Razif turut berkata, beliau tidak memiliki sebarang kepentingan atau saham dalam mana-mana hospital bersalin.
Razif berharap orang ramai tidak membuat tuduhan melulu dan mendapatkan fakta sebenar sebelum mengaitkan isu tersebut dengan dirinya.
“Saya harap semua pihak dapat bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang salah,” katanya lagi.
Terdahulu, kisah mengenai mayat seorang bayi lelaki yang didakwa ditahan dalam peti mayat sebuah hospital swasta kerana bapanya tidak mampu membayar kos rawatan tular di media sosial.
Perkara itu dikongsikan oleh laman Facebook pengurusan jenazah Islam, Mr Wan Chai Official yang kemudian tampil membantu menguruskan jenazah bayi berkenaan.
Bagaimanapun, pihak HBR dalam satu kenyataan semalam menafikan dakwaan tersebut.
HBR berkata, bapa bayi tersebut telah diberitahu oleh doktor untuk menguruskan pengebumian anaknya pada keesokan harinya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











