Maritim Malaysia tingkat keupayaan aset kawal perairan negara
PUTRAJAYA – Pelbagai langkah diambil sejak dua tahun lalu bagi memperkukuhkan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam usaha meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara langkah utama ialah menyiapkan pembinaan kapal KM Tun Fatimah yang kini ditempatkan di Sarawak.

“Selain itu, proses penyelesaian dua unit kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) lain juga sedang diteruskan.
“Empat unit helikopter baharu turut dijangka diterima dalam masa dua tahun sekaligus akan mempertingkatkan lagi kemampuan pengawasan udara dan operasi Maritim Malaysia,” kata beliau dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin lagi, kerjasama dengan negara luar juga menjadi fokus utama, termasuk penerimaan tawaran Amerika Syarikat untuk sebuah kapal US Cutter.
“Dengan kos tambahan sekitar USD10 juta (RM44.36 juta) bagi pengubahsuaian, pendekatan ini lebih menjimatkan berbanding membina kapal baharu yang memerlukan perbelanjaan ratusan juta ringgit.
“Langkah ini menunjukkan komitmen Maritim Malaysia dalam memastikan kawalan sempadan laut negara dilaksanakan dengan lebih cekap melalui penggunaan aset moden dan kerjasama strategik antarabangsa,” jelas beliau.
Menyentuh tugas hakiki Maritim Malaysia pula, Saifuddin memberitahu agensi itu bertanggungjawab mengawal keselamatan dan kedaulatan kawasan sempadan laut yang sangat luas, hampir mencecah 590,000 km².
Ini termasuk mengendalikan pelbagai bentuk ancaman seperti penyeludupan, pendatang tanpa izin, perdagangan dadah dan senjata selain berdepan pencerobohan oleh nelayan dan kapal asing.
“Justeru dengan kekuatan seramai 5,400 anggota, Maritim Malaysia perlu meningkatkan kompetensi anggotanya secara berterusan.
“Di samping itu, hubungan kerja dan kerjasama dengan agensi yang sama di luar negara seperti Turki, Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN harus terus diperkukuh melalui capacity building dan intelligence sharing,” tegas Saifuddin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








