BERITA SEMASADALAM NEGERI

Aidiladha: Tiada istilah cuti, Maritim Malaysia laksana 108 operasi SAR setakat Mei 2025

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melaksanakan sebanyak 108 operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) di perairan negara setakat 31 Mei lalu, melibatkan 251 mangsa.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, daripada jumlah itu, seramai 203 mangsa berjaya diselamatkan, 36 disahkan maut manakala 12 masih belum ditemukan.

Beliau berkata, tanggungjawab untuk mengetuai operasi penyelamatan tersebut termaktub dalam Seksyen 6(a) dan 6(b) Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004 (Akta 633), selain diperkuat melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 dan National SAR Manual (NAMSAR).

Menurut beliau, Maritim Malaysia turut membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) CARILAMAT tersendiri bagi memastikan pelaksanaan operasi yang cekap, pantas dan selamat.

“Tiada istilah ‘hari cuti’ bagi anggota Maritim Malaysia kerana sebarang isyarat kecemasan memerlukan tindakan segera tanpa mengira masa atau keadaan cuaca. Aset seperti bot peronda dan helikopter sentiasa berada dalam keadaan siap sedia 24 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang tahun 2024, Maritim Malaysia telah mengendalikan 226 kes CARILAMAT membabitkan 1,348 mangsa, dengan seramai 1,259 orang berjaya diselamatkan, manakala 64 maut dan 25 masih hilang di laut.

Selain operasi menyelamat, Maritim Malaysia turut melaksanakan program Preventive SAR secara berkala di seluruh negeri dan zon maritim bagi meningkatkan kesedaran keselamatan.

Program tersebut merangkumi taklimat komuniti, ceramah, pameran, dialog bersama nelayan serta pengedaran risalah.

Maritim Malaysia
Demonstrasi penyelamatan di laut sempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai langkah-langkah keselamatan dan kepentingan kerjasama semasa kecemasan maritim.

Dalam pada itu, Mohd Rosli turut menasihatkan masyarakat maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.

“Sentiasa pakai jaket keselamatan, pastikan bot dalam keadaan baik, bawa bersama Personal Locator Beacon (PLB), dan segera hubungi talian 999 sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Maritim Malaysia turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga maritim dan keluarga anggota yang sedang bertugas.

Baca juga : LIMA’25: Reruai Maritim Malaysia tarik ribuan pengunjung

Dalam perkembangan lain, pada 6 Jun setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM).

Bagi tahun ini, sambutan HKKM akan diadakan pada 28 Jun ini di Tanjung Harapan, Selangor dengan tema “Berapung Untuk Hidup”, mengekalkan tema sama seperti tahun lalu.

Antara pengisian program termasuk aktiviti demonstrasi menyelamat di laut, sesi dialog keselamatan bersama komuniti maritim, pameran keselamatan, jualan Rahmah dan lain-lain acara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button