
Belanjawan Madani Ketiga: Langkah tegas kurangkan defisit, hutang negara – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa kerajaan akan terus berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara secara mampan sambil memastikan dasar fiskal terus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pada tahun hadapan, agenda pembaharuan akan dilaksanakan dengan lebih agresif, sambil menyatakan keyakinan bahawa ekonomi negara akan berkembang kukuh pada kadar antara 4.5 hingga 5.5 peratus.
“(Pertumbuhan ekonomi) didukung langkah Belanjawan Madani Ketiga yang akan menyusul setiap penanda aras Ekonomi Madani dengan tiga tumpuan iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Belanjawan Madani Ketiga bakal memperhebat usaha pembaharuan fiskal yang lebih tegas dan bersasar.
“Langkah tegas dan berperingkat telah diambil bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten iaitu daripada 5.5 peratus (2022) kepada lima peratus (2023), (disusuli) anggaran 4.3 peratus (2024) dan unjuran 3.8 peratus (2025).
“Atau dengan erti kata lain, kerajaan berjaya mengawal jumlah hutang baharu yang kian menurun daripada sekitar RM100 bilion (2022) kepada lebih RM90 bilion (2023) seterusnya dianggar RM85 bilion (2024) dan unjuran RM80 bilion (2025).
“Angka terkini mencatatkan kejayaan kita mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, mengatasi unjuran Belanjawan 2024 iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 antara empat hingga lima peratus,” katanya sambil menambah kedudukan ekonomi negara terus mengukuh selepas dua tahun pentadbiran Madani.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut menyatakan pengangguran setakat September lalu menurun kepada 3.2 peratus, iaitu kadar terendah sejak Januari 2020, manakala tahap inflasi Oktober kekal rendah pada 1.9 peratus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








