BERITA SEMASA

IPCC kenalpasti isu perlu diselesaikan untuk naikkan imej PDRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) telah mengenal pasti beberapa isu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlu diselesaikan bagi menaikkan imej pasukan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara isu dikenal pasti termasuk isu perolehan yang perlu diperbaiki.

“… (juga pada aspek penugasan) yang mana perlu dikaji semula supaya selaras dengan peranan utama PDRM seperti siasatan, risikan, dan keamanan awam,” katanya, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Pelancaran IPCC, Police, Friends and Collaborators (IPFC) di sini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau kemudiannya memberitahu, IPCC turut menerima sebanyak 529 aduan selepas lebih setahun Akta IPCC 2022 (Akta 839) dikuatkuasakan.

Jumlah itu, katanya lagi, termasuk 140 aduan tertunggak sebelum Akta 839 dikuatkuasakan.

“Aduan diterima setakat 22 November lalu itu, antaranya merangkumi tiga kategori, iaitu rasuah yang disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes jenayah yang kemudian dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tatakelakuan anggota yang disiasat IPCC.

“Antara aduan yang diterima bersifat aduan yang tidak diambil tindakan oleh polis. Maka laporan dibuat kepada IPCC selepas pengadu berasa aduan atau laporan awal mereka tidak diambil tindakan, maka terjadi laporan berulang dan terjadi isu polis tidak mengambil tindakan.

“Ada juga aduan menyatakan kes selesai disiasat, sudah diberi keputusan dan diklasifikasikan masalah remeh kerana babit masalah sengketa peribadi. Contoh, ada pengadu tidak berpuas hati dengan seorang anggota polis yang tinggal di kawasan kediamannya kerana tidak menjawab salam.

“Itulah antara jenis-jenis aduan yang diterima,” katanya lagi.

Katanya, IPCC menjalankan peranannya berdasarkan segala aduan oleh mana-mana pihak, termasuk orang awam dan kemudian mencadangkan tindakan yang wajar diambil dalam usaha menambah baik perkhidmatan PDRM.

Mengenai IPFC, Saifuiddin berkata, ia program di bawah Pelan Strategik IPCCyang dirangka oleh suruhanjaya itu bagi mengesyorkan penambahbaikan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan warga PDRM.

“IPFC berobjektif membantu memantau tatakelakuan anggota pasukan polis, melindungi hak asasi orang awam dan anggota pasukan, memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan dan keberkesanan IPCC serta polis, lalu mempertingkatkan imej dan nama baik negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button