POLITIK

DAPSY kecam Ketua Pembangkang Perak main politik perkauman di sidang DUN

KUALA LUMPUR – Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar, mengecam tindakan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria, yang didakwa memainkan isu perkauman dan hasutan dalam Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 baru-baru ini.

Syaheera berkata, ucapan Razman sebagai tidak wajar dan mencemarkan institusi DUN, yang sepatutnya menjadi medan perbahasan sihat.

“Saya malu melihat Razman bermain politik perkauman dalam sidang DUN dan kenyataannya mendakwa rakyat Malaysia berbangsa Cina lebih setia kepada China berhubung isu kibaran bendera China di Menara Condong, Teluk Intan adalah tidak bertanggungjawab dan memalukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengkritik tindakan Razman yang mengajak ahli DUN menyokong pandangan perkauman melalui kenyataan “sesiapa yang mempunyai mata dan kulit sama perlu bersatu.”

Syaheera berkata, kenyataan sedemikian tidak menghormati sidang DUN dan boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Sidang DUN adalah platform untuk membahas dasar yang bermanfaat kepada rakyat, bukan tempat untuk politik perkauman atau pandangan sempit yang tidak membantu pembangunan negeri atau negara,” katanya lagi.

Syaheera turut melahirkan kebimbangan terhadap pendekatan politik ‘us versus them’ yang dibawa Razman ketika perbahasan Belanjawan 2025 kerana ia berpotensi memecah-belahkan masyarakat.

“Kita memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab, mampu memupuk perpaduan, dan memacu pembangunan negara.

“Politik perpecahan seperti ini hanya akan menggugat proses pembinaan negara yang harmoni,” katanya lagi.

Beliau menyeru generasi muda untuk terus mempertahankan perpaduan dan integriti dalam politik demi kesejahteraan masa depan rakyat serta negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button