Jenayah & Mahkamah

SPRM panggil ADUN Sabah beri keterangan – Sumber

CYBERJAYA – Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah hari ini akan dipanggil bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan skandal rasuah.

Menurut sumber, mereka dipanggil susulan penyebaran klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal berita.

Semalam, laporan media menyebut ADUN terbabit dikatakan dipanggil SPRM Sabah, namun belum ada sebarang pengesahan atau kenyataan daripada agensi penguat kuasa itu atau ADUN yang berkenaan.

Setakat ini, satu klip audio dan tiga klip video memaparkan perbualan ADUN Sabah dengan individu yang dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di portal berkenaan.

Antara ADUN yang dikaitkan dengan klip audio itu adalah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Rubin Blang (Kemabong), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat).

Setakat ini, Dr Yusof, Rubin dan Mohd Arsad sudah memberi penjelasan berhubung klip video itu, termasuk menafikan menerima rasuah berhubung rundingan projek yang dikaitkan dengan perlombongan mineral.

Bagaimanapun, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah enggan memberi komen ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kelmarin.

Klip memaparkan Menteri Kerja Raya Sabah itu ‘ditemu ramah’ oleh individu yang dipercayai merakam video berkenaan, didedahkan kelmarin.

Show More

Related Articles

Back to top button