Berita Semasa

Elemen TVET diperkenal kepada Tahun Satu mulai 2027 – KPM

KUALA LUMPUR – Elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkenalkan kepada murid Tahun Satu mulai sesi persekolahan pada 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, elemen itu akan diperkenalkan menerusi pembelajaran bersepadu yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.

“Pembelajaran dilaksanakan berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi dan digital dalam pelbagai bidang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kah Woh berkata demikian ketika menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat memperkenalkan laluan program TVET seawal usia tingkatan satu bagi memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.

Bagi  murid di Tahun Lima dan Tahun Enam, Kah Woh berkata mereka akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, sains rumah tangga, kejuruteraan, pengaturcaraan dan pertanian.

Beliau kemudiannya menambah, kandungan, kemahiran dan nilai daripada pelbagai bidang teknologi dan digital akan dikembangkan lagi kepada murid di peringkat menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga bagi mengenali potensi diri, seterusnya mendorong minat mereka dalam bidang TVET.

“KPM yakin, melalui inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi pendedahan awal dan memberi peluang kepada murid memilih bidang TVET selepas tamat pendidikan menengah rendah iaitu tamat tingkatan tiga,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button