Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kematian Tun Daim: TPR akan putuskan tindakan seterusnya – SPRM

KUALA LUMPUR – Tindakan lanjut berhubung pendakwaan dihadapi bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin akan diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, susulan kematian Daim, 86, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama TPR dan tindakan seterusnya akan diputuskan oleh pihak terbabit.

“Kami akan membincangkan dengan pihak TPR mengenai bagaimana pemergian Allahyarham Tun Daim berkemungkinan boleh menjejaskan pendakwaan.

“Hal itu, hanya TPR boleh memutuskan sama ada meneruskannya atau sebaliknya dan kami di SPRM hanya bertanggungjawab untuk menyiasat,” katanya memetik laporan BH Online.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu kemungkinan akan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu.

Katanya, SPRM akan memberikan kemas kini sebaik keputusan dibuat.

Terdahulu, Allahyarham Daim yang menerima rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya sejak dua minggu lalu disahkan meninggal dunia pada 8.21 pagi tadi.

Jenazah bekas Menteri Kewangan itu dibawa pulang ke rumahnya di Persiaran Bukit Tunku sebelum solat jenazah dijangka selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta, di sini dan kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1.

Allahyarham yang dilahirkan di Kedah pada 29 April 1938 pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.

Show More

Related Articles

Back to top button