Kerajaan negeri Selangor beri geran RM5,000 galak pengusaha taska daftarkan perkhidmatan
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor akan memperkenalkan geran khas sebagai insentif kepada pengusaha taska yang tidak berdaftar untuk mendaftarkan perkhidmatan mereka.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, geran RM5,000 yang diberi secara ‘one-off’ boleh digunakan para pengusaha untuk melengkapkan premis mereka mengikut spesifikasi ditetapkan supaya membolehkan ia didaftarkan.
“Antara alasan (tidak mendaftarkan taska) diberikan sebelum ini termasuk masalah kewangan, yang mana para pengusaha perlu mematuhi spesifikasi tertentu, terutamanya berkaitan premis.
“Pemberian ini merupakan satu insentif kepada mereka untuk melakukan pengubahsuaian yang diperlukan, dan kemudiannya mendaftarkan taska mereka,” katanya.
Anfaal berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Advokasi Perkhidmatan Taska Peringkat Negeri Selangor 2024, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Azmir Kassim.
Setakat Julai tahun ini, katanya, jawatankuasa pemutihan untuk taska tidak berdaftar di bawah JKM Selangor mengenal pasti terdapat 128 taska tidak berdaftar beroperasi di Selangor.
Bagaimanapun, jumlah itu semakin menurun berbanding 407 pada tahun lepas dan 600 taska pada 2022 hasil program pemutihan yang dijalankan.
“Banyak manfaat yang akan diperoleh oleh pengendali atau pengusaha taska yang berdaftar, antaranya pengecualian cukai serta insentif-insentif khas dari kerajaan.
“Selain itu, jika terdapat syarikat korporat yang berminat untuk membuat program tanggungjawab sosial korporat dan turun padang, pastinya taska berdaftar yang akan menjadi pilihan mereka,” katanya lagi.
Untuk rekod, buat masa ini terdapat kira-kira 3,000 taska berdaftar dengan JKM di seluruh negara, dengan 1,004 daripadanya adalah di Selangor.