Pencarian MH370: Kerajaan masih berunding dengan Ocean Infinity
KUALA LUMPUR – Kerajaan masih berunding dengan syarikat Ocean Infinity mengenai tawaran mereka untuk meneruskan pencarian bangkai pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tawaran ‘no find, no fee’ syarikat berkenaan adalah untuk membuat pencarian dasar laut di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi.
“Mengikut prinsip ‘no find, no fee’, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemukan.
“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh syarikat Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat tersebut,” katanya.
Anthony berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Zhemin (DAP-Kampar) di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat malang berkenaan.
Ketika kejadian, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dari 14 negara dan 12 anak kapal warga Malaysia dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari KLIA ke Beijing.