Berita SemasaSukan

Lebih 20,000 sertai Karnival Liga Sukan Uniti

BANGI – Karnival Liga Sukan Uniti anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan menjadikan sukan sebagai medium untuk memupuk perpaduan antara kaum di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, lebih 20,000 penyertaan telah direkodkan merangkumi peserta dari seluruh negara bagi tiga jenis sukan yang dipertandingkan iaitu badminton, bola jaring dan futsal.

Antara pemenang bagi sukan badminton pada Karnival Liga Sukan Uniti anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN). – Foto Najmi Zulkefle / Malaysia Tribune
Antara pemenang bagi sukan badminton pada Karnival Liga Sukan Uniti anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN). – Foto Najmi Zulkefle / Malaysia Tribune

“Saya berasa amat banggsa dengan penyertaan yang menggalakkan terhadap Karnival Liga Sukan Uniti yang mana sebanyak 20,000 penyertaan direkodkan di seluruh negara.

“Oleh sebab sambutan yang hangat pada tahun ini, kita akan adakan lagi pada tahun hadapan dan tahun-tahun berikutnya di mana kita akan tambah lebih banyak acara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Tribune pada hari kedua Karnival Liga Sukan Uniti di Uptown Sports, Bandar Baru Bangi, semalam.

Pada kedua karnival berkenaan, KD x Jueleh muncul juara bagi acara futsal kategori lelaki atas 16 tahun, manakala Rem FC berjaya menjadi johan bagi kategori perempuan.

KD x Jueleh muncul juara bagi acara futsal kategori lelaki atas 16 tahun. – Foto Najmi Zulkefle / Malaysia Tribune
Rem FC berjaya menjadi johan futsal bagi kategori perempuan. – Foto Najmi Zulkefle / Malaysia Tribune

Pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing mendapat RM1,800 dan RM1,000.

Mengulas lanjut, Mohamad Sobri berkata, penganjuran acara karnival sukan seperi ini memberi impak yang besar terhadap perpaduan kaum menerusi perkongsian di media sosial.

“Saya lihat impak daripada Karnival Liga Sukan Uniti ini apabila peserta viral di Tiktok dengan kejayaan masing-masing dan di situ kita lihat ada elemen sukan membawa kepada perpaduan.

“Contohnya pasukan badminton pada hari ini terdiri daripada pelbagai peserta iaitu Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak semua ada.
Kita mahu sukan ini menjadi platform dalam perpaduan negara kita,” ujarnya.

Mengulas mengenai Karnival Liga Sukan Uniti pada edisi akan datang, Mohamad Sobri berkata, pihak KPN dijangka memperkenalkan sukan tradisional serta sukan lain yang dapat sambutan pelbagai kaum.

“Seperti yang YBM kata sebelum ini akan ada satu tambahan sukan iaitu sekurang-kurangnya satu sukan tradisional yang mana ia adalah sukan rakyat atau kita tambah sukan yang dapat sambutan dalam pelbagai kaum pada tahun hadapan.

Mohamad Sobri ketika ditemui Malaysia Tribune pada hari kedua Karnival Liga Sukan Uniti di Uptown Sports, Bandar Baru Bangi.

“Kita harapkan pada tahun-tahun akan datang sekitar Oktober atau November kita akan adakan saperti waktu ini juga dan harap akan lebih ramai yang sertai dan InsyaAllah kalau ada bajet lebih kita akan tambah sukan serta hadiah buat para pemenang pada tahun depan.

Tambah Sobri, pihaknya juga berterima kasih kepada artis jemputan iaitu Zubir Khan, Ezra Kairo, Suki Low,Ara Johari, Hawa Rizwana, Syaidatul Afifah, Noreen Iman, Isha Norsham dan Shasha Nadira yang hadir memeriahkan karnival itu.

“Saya rasa berbangga apabila penyertaan peserta di seluruh pada tahun ini sangat menggalakkan dan ditambah pula dengan barisan artis dan selebriti yang hadir menambah dan memeriahkan lagi elemen perpaduan itu,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button