Berita Semasa

Kibar bendera China : Nga Kor Ming siasatan kepada polis

IPOH – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat penyebaran video perarakan mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menegaskan, siasatan segera perlu dilakukan bagi mengelak salah faham dan spekulasi negatif dalam kalangan rakyat.

Kor Ming turut menggesa tindakan diambil terhadap mana-mana pihak, termasuk parti politik yang cuba menghasut kebencian kaum berhubung isu tersebut.

“Semua pihak harus menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum serta mematuhi undang-undang negara.

“Dalam hal ini, kita minta polis segera menyiasat dan bertindak terhadap semua pihak termasuk Pas yang dilihat menyebarkan perkara tidak tepat,” memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata, sidang media berkaitan insiden tersebut akan diadakan pada pukul 8 malam ini.

Terdahulu, Pas Perak menggesa siasatan berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan individu mengibarkan bendera China dalam sambutan berhampiran Menara Condong di Teluk Intan.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, tindakan itu didakwa melanggar Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, yang melarang paparan bendera negara asing di tempat awam atau sekolah.

Razman turut menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua, sebagai penganjur tampil memohon maaf berhubung video tular tersebut menjelaskan bahawa tindakan mengibarkan bendera China dilakukan oleh peserta rombongan dari China yang turut serta dalam perarakan berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button