Berita Semasa

‘Jangan diimpikan sesuatu yang indah, jika soal hubungan antara kaum tidak dapat dijayakan’ – Khaled Nordin

KOTA TINGGI – Masyarakat Malaysia diseru supaya dapat bersatu hati dan bersama-sama menjaga negara tercinta ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu mengamalkan sikap menghormati satu sama lain dan bertoleransi bagi mengeratkan hubungan sesama kaum.

“Meskipun wujud pelbagai perbezaan, namun ia tidak menghalang kita untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan antara kaum melalui sambutan Deepavali.

“Malah, kita berpeluang untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh masyarakat India supaya mereka tidak tercicir dan terpinggir,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebooknya, mengenai Majlis Penyerahan Bantuan Sumbangan Deepavali 2024 di Dewan Jubli Intan di sini, semalam.

Katanya lagi, program seperti ini dapat mengelakkan sebarang keraguan antara kaum dan seterusnya mampu mengukuhkan kerjasama demi memajukan masyarakat dan negara kita.

“Sudah tentunya kita inginkan kehidupan yang lebih baik, terjamin dan bermakna. Namun, ia tidak boleh berkisarkan cahaya dari hasil terdahulu, tetapi yang kehadapan.

“Jangan diimpikan sesuatu yang indah, jika soal hubungan antara kaum tidak dapat dijayakan. Semoga tahun hadapan kita akan memperoleh ‘cahaya’ yang lebih cerah,” katanya lagi.

Mohamed Khaled turut berkata, Belanjawan 2025 yang dibentangkan kelmarin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah turut menekankan soal pembugaran ekonomi dan penjanaan perubahan negara.

“Ini termasuklah peruntukan yang besar dalam aspek pendidikan dan kesihatan serta pelaksanaan pelarasan subsidi.

“Usaha ini tidak lain tidak bukan adalah demi keterjaminan masa hadapan negara yang lebih baik,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button