Berita Semasa

RM35 juta sumbangan khas untuk lebih 70,000 penggerak institusi Islam

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah bersetuju menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM500 kepada lebih 70,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM35 juta sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam memperkasa pendidikan dan institusi Islam di negara ini.

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM2 bilion untuk hal ehwal Islam pada tahun depan dengan sebahagian daripada dana ini digunakan untuk memperkukuhkan institusi pendidikan Islam.

“Sebanyak RM150 juta diperuntukkan khusus bagi menyelenggara prasarana pendidikan Islam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz, dan sekolah agama rakyat,” katanya lagi

Beliau turut mengumumkan penambahan kuota guru KAFA sebanyak 1,500 orang, selaras dengan keperluan pendidikan fardu ain untuk generasi muda.

Selain itu, Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan kadar wang saku penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), dan Darul Quran JAKIM sebanyak RM100 sebagai usaha membantu meringankan beban pelajar.

Show More

Related Articles

Back to top button