Pesara kerajaan disyaki minta, terima rasuah RM16,000 ditahan SPRM
TAWAU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang pesara kerajaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM16,000 untuk mempercepatkan proses pindah milik tanah di daerah Tawau.
Menurut sumber, suspek yang berusia dalam lingkungan 60-an telah ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM cawangan Tawau.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah untuk mempercepatkan proses pindah milik tanah seluas 12 ekar yang terletak di daerah Tawau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau esok bagi proses pertuduhan.