Jenayah & Mahkamah

Sindiket curi kereta Geng Siva tumpas, lima lelaki ditahan

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kereta dikenali sebagai Geng Siva dengan penahanan lima lelaki tempatan dalam operasi yang dijalankan antara 6 hingga 7 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun itu ditahan di kawasan Skudai dan Masai susulan laporan kehilangan sebuah kereta pada 23 Ogos di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

“Siasatan mendapati sindiket itu beroperasi secara terancang, di mana dua suspek berperanan mencuri kenderaan manakala yang lain meleraikan komponen kereta sebelum dilupuskan sebagai barangan lusuh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, semakan lanjut menunjukkan empat daripada lima suspek memiliki rekod jenayah dan kesalahan berkaitan dadah.

Hasil ujian air kencing juga mendapati salah seorang suspek positif dadah.

“Semua suspek kini direman antara dua hingga tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut. Kami juga telah mengambil keterangan pemilik dan pekerja premis barangan lusuh yang dipercayai terlibat dalam kes itu,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.

Dalam pada itu, Balveer mengingatkan masyarakat agar sentiasa meletakkan kenderaan di kawasan yang diwartakan dan selamat untuk mengelakkan kejadian seumpamanya.

Show More

Related Articles

Back to top button