Berita Semasa

Fahmi sedia jadi perantara selesaikan tunggakan gaji pengamal media

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melahirkan perasaan kecewa apabila terdapat organisasi media yang gagal melunaskan gaji pengamal media.

Fahmi berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan agensi berkenaan sepatutnya bertanggungjawab melunaskan gaji para pekerjanya.

Katanya, kerjaya sebagai wartawan tidak boleh dipandang remeh dan dianggap sebagai percuma.

“Saya difahamkan telah enam bulan berlalu dan para wartawan masih belum dapat pampasan atau gaji mereka. Saya tidak rasa ini boleh diterima, saya merasakan ini sangat tidak patut (berlaku). We want a free press but press is not free.

“Jadi organisasi media tersebut wajib melunaskan tunggakan bayaran gaji bagi para pekerja. Saya akan meneliti perkara ini, saya bersedia untuk menjadi perantara.

“Memang sebelum ini kita membantu aspek kebajikan bagi sejumlah pekerja organisasi media tersebut tetapi organisasi itu sendiri juga perlu bertanggungjawab dan perlu melunaskan hutang selama ini,” katanya.

Semalam Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menggesa majikan mewakili The Malaysian Insight (TMI) serta The Vibes melunaskan tunggakan gaji sekumpulan wartawan dengan bagi membolehkan mereka menentukan hala tuju masa hadapan masing-masing.

Menerusi kenyataan bersama, NUJ dan GERAMM memaklumkan kedua-dua organisasi teguh bersolidariti bersama wartawan terbabit dalam mendepani cabaran menuntut tunggakan gaji selama beberapa bulan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button