Kebajikan masyarakat India ditambahbaik, diteruskan dalam Belanjawan 2025 – PM
PUTRAJAYA – Kebajikan masyarakat India tidak pernah dipinggirkan dan sentiasa ditambahbaik dari segala aspek penting termasuk pendidikan, penyediaan rumah ibadat dan peluang pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga kini, sebanyak RM1.5 juta telah disalur untuk bakul makanan sempena perayaan Deepavali.
“Manakala sebanyak RM20 juta pula disalurkan bagi pembinaan tempat pembakaran mayat atau krematorium di beberapa negeri melibatkan Kedah Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyampaikan amanat dalam satu pertemuan dengan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Media Masyarakat India, semalam.
Perdana Menteri berkata, keprihatinan Kerajaan Madani terhadap masyarakat India ini akan diteruskan melalui Belanjawan 2025 yang akan diumum pada 18 Oktober depan.
Jelas Perdana Menteri, usaha tersebut akan melalui beberapa program khusus sepertimana yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Malah sebelum ini juga, kerajaan telah menyalurkan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
“Kerajaan turut menambah beberapa dana seperti bantuan sejumlah kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk masyarakat India.
Sementara itu, Perdana Menteri berharap agar taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini dapat terus dipertingkatkan di masa hadapan.
“Kepentingan untuk mengekalkan kerharmonian antara semua kaum harus kekal terpelihara,” ujarnya lagi dalam kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







