UPSR, PT3 teras kemenjadian murid, wajar dikembalikan – Mahdzir Khalid
ALOR SETAR – Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan pada 2022 sudah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid, dan wajar dikembalikan.
Menurut bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kedua-dua peperiksaan tersebut mempunyai nilai tersendiri dan sudah menjadi komponen penting dalam sistem pendidikan ketika dilaksanakan.
“Jadi, saya lihat perkara itu ada kewajarannya untuk kita adakan semula peperiksaan berkenaan kerana ia terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahdzir berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, mengenai cadangan upaya sistem peperiksaan bagi Tahun Enam di sekolah rendah dan Tingkatan Tiga di sekolah menengah dirombak.
Mahdzir berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa, tanpa kajian mendalam.
Katanya, pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.
Justeru, katanya, saranan oleh Ahmad Zahid itu perlu diambil secara positif oleh Kementerian Pendidikan (KPM) kerana kesan pemansuhan UPSR dan PT3 mula terlihat apabila isu keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3М).
“Saya melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan.
“Kaedah pentaksiran itu juga saya fikir memberi beban tambahan kepada guru kelas,” katanya lagi.
UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.
PT3 pula mula dilaksanakan pada 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).