BN lawan PN di PRK DUN Mahkota
KLUANG – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini menyaksikan persaingan sengit satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah mewakili kerajaan perpaduan, manakala PN mencalonkan Mohamad Haizan Jaafar, ahli jawatankuasa Bersatu Kluang yang juga bekas pemain bola sepak Johor.
Pertembungan dua penjuru itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Mahkota, Azurawati Wahid selepas proses penerimaan borang pencalonan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail berakhir pada 10 pagi tadi.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian,
Seramai 1,126 orang petugas dijangka akan terlibat dengan PRK yang akan diadakan pada 28 September ini.
Pada PRN sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








