Berita Semasa

Duti eksais 40 sen bagi setiap mililiter kandungan cecair vape

BANGI – Kerajaan mewartakan pelaksanaan duti eksais sebanyak RM0.40 bagi setiap milimeter (ml) cecair vape dengan kandungan nikotin berkuat kuasa pada 1 April 2023.

Duti baharu itu berkuat kuasa semalam (1 April 2023) berikutan bermulanya Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023, menurut notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan sehari sebelumnya.

Warta ini kemudiannya akan dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat menurut Subseksyen 6(2) Akta Eksais 1976.

Melalui pewartaan yang bertujuan untuk tidak menggalakkan penggunaan rokok elektronik itu, kerajaan mensasarkan hasil duti eksais sebanyak RM2 bilion dapat dikutip.

Pada pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin, dengan separuh daripada hasil akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan rancangan di bawah Bajet 2022 untuk memperluaskan kutipan cukai kepada cecair vape yang mengandungi nikotin dengan mengenakan cukai eksais pada RM1.20 setiap mililiter, tetapi penguatkuasaan ditangguhkan.

Kajian terbaru oleh firma tembakau JTI Malaysia, berdasarkan unjuran, menyatakan bahawa kerajaan terlepas peluang untuk mengutip RM866 juta cukai tahun lepas daripada cecair yang digunakan untuk vape atau rokok elektronik.

Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan berkata ia komited untuk mempercepatkan pembentangan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau di Parlimen memandangkan hakikat bahawa nikotin cecair akan dikenakan cukai.

Ini berlaku apabila dua persatuan yang mewakili profesional penjagaan kesihatan di Malaysia menyuarakan bantahan mereka terhadap langkah kerajaan untuk mengecualikan nikotin sebagai bahan terkawal di bawah undang-undang menjelang cukai baharu terhadap produk vape.

Sementara itu, satu warta berkenaan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin dikecualikan daripada Akta Racun 1952 telah dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Warta tersebut memaklumkan, pengecualian tersebut terpakai ke atas tampalan dan gula-gula getah nikotin yang didaftarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Show More

Related Articles

Back to top button