DBKL sahkan gambar longkang runtuh di Kampung Kerinchi
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan kejadian tanah mendap yang menyebabkan longkang runtuh di Kampung Kerinchi di sini seperti tular di media sosial semalam.
DBKL dalam kenyataan di Facebook berkata, kejadian yang berlaku pada malam kelmarin itu telah disedari pihaknya dan tindakan susulan telah diambil sebagai langkah keselamatan.
“DBKL mengambil maklum mengenai longkang runtuh di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi.
“Kerja-kerja awalan seperti pemasangan tali keselamatan, penghadang air dan pemasangan kon telah dilakukan di kawasan kejadian,” katanya.
Kelmarin tular gambar-gambar menunjukkan runtuhan pada bahagian longkang bersebelahan laluan pejalan kaki.
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan orang ramai susulan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India yang menyebabkan seorang warga India hilang dalam saluran pembentungan.
Pada hari ini, satu lagi kejadian tanah mendap dikesan kira-kira 50 meter dari lokasi pertama di kawasan yang sama.