Sukan

Final Piala FA: Misi balas dendam bagi Selangor, maruah pertahan takhta bagi JDT

PERTEMBUNGAN dua pasukan terbaik di Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di pentas final Piala FA, malam ini dijangka ‘lebih panas’ dan sengit susulan kontroversi yang melanda kedua-dua pasukan kebelakangan ini.

Selangor FC, salah satu kelab bola sepak tertua dengan rekod paling berjaya di Malaysia dilihat akan turun dengan keazaman tinggi selepas kali terakhir menjulang trofi Piala FA pada tahun 2009.

Bagi pasukan JDT, kelab paling dominan pada ketika ini pula turun selaku pilihan untuk melengkapkan hatrik kejuaraan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini selepas berjaya menjuarai kejohanan itu dalam dua edisi terdahulu (2022, 2023).

Bagaimanapun, harapan peminat Selangor untuk menyaksikan piala bola sepak paling berprestij negara itu sedikit tergugat apabila ‘kehilangan’ pemain tonggaknya, Faisal Halim ekoran insiden simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Kejadian yang mengejutkan dunia bola sepak negara itu juga dikatakan menjadi punca Selangor FC mengambil keputusan menarik diri daripada saingan Piala Sumbangsih yang lalu.

Dengan penarikan itu, JDT diberikan kemenangan percuma tanpa perlawanan manakala Selangor FC dikenakan denda oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atas kejadian itu.

Tindakan denda yang dikenakan terhadap Selangor FC itu ternyata menyemarakkan kemarahan peminat Selangor yang menyifatkan hukuman itu tidak berperikemanusian, mengambil kira keadaan Faisal Halim yang belum sembuh sepenuhnya.

Kemelut yang berlaku itu juga mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kepimpinan MFL serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dalam titah baginda, Tuanku menzahirkan kekecewaan kerana Hamidin dilihat tidak serius membela nasib pasukan Selangor itu sedangkan beliau merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013, selain pernah menerima darjah kebesaran daripada Sultan Selangor.

Bagaimanapun selepas didesak, MFL memutuskan pembatalan dua hukuman yang dikenakan terhadap Skuad Gergasi Merah dengan mengurangkan denda daripada RM100,000 ke RM60,000.

Selain itu, pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 turut dibatalkan.

Dengan segala isu dan sentimen yang melanda ketika ini, aksi Selangor FC dan JDT pada Piala FA malam ini pasti akan menjadi pertemuan yang pasti sengit dan bersejarah.

Show More

Related Articles

Back to top button