Polis cari pemain bola sepak bawa senjata tajam
KUALA LUMPUR – Pihak polis sedang mengesan seorang pemain bola sepak yang disyaki membawa senjata tajam dalam satu kes pergaduhan yang berlaku di padang KLFA, Desa Melati, dekat sini malam tadi.
Menrutu Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Lazim Ismail, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun pada pukul 2.21 pagi, awal pagi tadi.
“Ketika kejadian, pengadu menyatakan berlaku perselisihan faham antara pasukan pengadu dan pasukan lawan.
“Dia mendapati, pemain dari pihak lawan telah membawa masuk senjata tajam ke dalam padang serta mengacukan kepada salah seorang pemain daripada pasukan pengadu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, polis sedang berusaha mengesan suspek yang terlibat bagi membantu siasatan lanjut.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu, pengecaman suspek sedang dibuat.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya lagi.