Malaysia sudah hantar surat permohonan sertai BRICS – PM
PUTRAJAYA – Malaysia telah menghantar surat permohonan bagi menyertai organisasi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Rusia selaku Pengerusinya, baru-baru ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Sabtu di Seri Perdana, di sini, hari ini.
“Perbincangan kami seputar isu penyertaan Malaysia ke dalam gabungan BRICS yang merupakan antara intipati utama perbincangan,” katanya dalam sayu kenyataan di Facebook.
Hadir sama dalam perjumpaan itu, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya juga menyentuh aspek pengukuhan kerjasama dua hala Malaysia-Rusia.
Perdana Menteri menegaskan hubungan sedia ada Malaysia perlu dipertingkat dan diperkukuh terutama dalam sektor pelaburan dan perdagangan, sains dan teknologi, pertanian, pertahanan dan ketenteraan, pendidikan serta pelancongan dan budaya.
“Perbincangan turut memberi penekanan berkaitan isu sejagat melibatkan situasi terkini di Palestin dengan kedua-dua negara menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata secara kekal, bantuan kemanusiaan segera selain Negara Palestin diperaku sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Berkenaan Ukraine, Malaysia menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik ini,” ujarnya lagi.