
Scam, buli siber dan pedofilia tiga jenayah tertinggi dalam talian – Fahmi
PUTRAJAYA – Masalah penipuan (scam), buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak (pedofilia) merupakan tiga jenayah tertinggi dalam talian yang meresahkan rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ketiga-tiga ancaman tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan dan memerlukan tindakan yang segera.
Sehubungan itu, katanya, pihak kerajaan mahu semua platform media sosial mematuhi undang-undang sedia ada di negara ini terutama dalam menurunkan segera kandungan yang boleh memudaratkan rakyat.
Beliau berkata, perkara itu merupakan antara yang diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Tambah Fahmi, Jemaah Menteri juga mahu isu jenayah di media sosial ditangani segera termasuk memantapkan soal aspek siasatan dan pendakwaan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah diarahkan untuk meneliti perkara itu.
“MCMC telah keluarkan surat arahan kepada sejumlah platform media sosial untuk mereka beri maklum balas berkaitan isu itu,” katanya dalam sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Berdasarkan data Kementerian Komunikasi, sebanyak 51 kes pedofilia dilaporkan pada tahun 2022, dan meningkat kepada 75 pada tahun berikutnya. Setakat Julai tahun ini, sebanyak 17 sudah dilaporkan.
Bagi kes scam pula, sebanyak 2,675 kes dilaporkan pada 2022, dan meningkat kepada 4,180 bagi tahun 2023. Bagi tahun ini pula, sebanyak 2,466 kes sudah dilaporkan setakat bulan Julai.
Bagaimanapun, kes buli siber menunjukkan sedikit penurunan apabila sebanyak 4,128 kes dilaporkan pada tahun 2022, dan turun sedikit kepada 3,737 kes pada tahun 2023.
Setakat Julai ini pula, sebanyak 1,618 kes buli siber sudah dilaporkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








